Saturday, October 10, 2009

Kenapa Emas ?


Kenapa agaknya nenek moyang kita dahulu sanggup membeli dan menyimpan emas kuning berbanding mendepositkan wang simpanan mereka ke dalam bank? Sudah tentu jawapannya kerana nilai sebenar emas berkenaan yang sentiasa tinggi nilainya berbanding dengan duit kertas yang hanyalah sekeping not yang ditulis nilai di atasnya.

Di Malaysia,ketika berlakunya kegawatan ekonomi global pada 1997,dinar emas yang diperbuat daripada emas 916 kembali ke zaman kegemilangan sebagai medium penyimpan nilai yang tinggi, stabil, sentiasa berpotensi untuk meningkat nilai serta komoditi yang paling selamat.

Nilai emas yang selalu stabil dan meningkat dari semasa ke semasa amat disukai sebagai medium penyimpanan berbanding mata wang konvensional yang seringkali menjadi perjudian penyangak wang antarabangsa bagi mengaut keuntungan mudah dan besar.

Emas juga adalah sejenis aset yang kalis inflasi dan yang paling penting ia tidak boleh dipengaruhi oleh faktor ekonomi, politik mahupun bencana alam.

Maka sebab itulah digalakkan membuat pelaburan berasaskan emas yang lebih menguntungkan.

Selain itu,emas adalah merupakan matawang yang paling stabil pernah digunakan oleh manusia.

Daripada awal tamadun Islam sehingga hari ini, nilai emas yang stabil sangat menarik perhatian. Seekor kambing yang berharga 1 dinar ketika zaman nabi Muhammad SAW; hari ini seekor kambing masih berharga 1 dinar.

Ini menunjukkan inflasi sifar dalam jangka masa 1400 tahun.

Ia membuktikan bahawa di dalam jangka masa panjang emas merupakan penyimpan nilai yang unggul. Kuasa beli emas masih dikekalkan. Inilah kelebihan emas. Selain itu, emas tidak boleh dicetak sesuka hati oleh kerajaan menyebabkan nilainya tidak mungkin jatuh seperti wang kertas.

Oleh yang demikian, menyimpan kekayaan di dalam bentuk emas adalah kaedah terbaik dan terunggul.

Nilai emas tidak perlu disandarkan kepada mana-mana kerajaan. Ianya bukanlah liabiliti mana-mana pihak.

Semua bentuk aset kertas, contohnya bon, saham termasuk deposit bank adalah merupakan 'janji untuk membayar hutang'. Nilainya tertakluk kepada andaian pelabur bahawa janji pembayaran akan dilakukan. Sejarah menunjukkan bahawa aset-aset kertas ini boleh gagal sepertimana yang berlaku kepada bon dan wang kertas peso Mexico.

Emas pula tidak tertakluk kepada mana-mana sistem kewangan dunia. Apa pun yang berlaku, emas tetap mengekalkan nilainya. Ini dapat dilihat daripada pengalaman manusia selama 5000 tahun di samping logam ini.

No comments:

Post a Comment